Dari Ibnu Abbas r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:”Diperlihatkan (Allah) kepadaku akan neraka.. Ketika itu kulihat kebanyakan isinya terdiri daripada perempuan-perempuan kafir.” Baginda ditanya oleh seseorang:”Apakah mereka kafir kepada Allah?” Jawab Rasulullah, “Mereka kafir kepada karib (suami) dan (tidak tahu berterima kasih) atas kebaikan (yang diterimanya). Biarpun engkau telah berbuat baik kepadanya sepanjang masa, kemudian dilihatnya daripadamu sedikit kesalahan sahaja, lantas ia berkata:”Saya tidak pernah melihat kebaikan darimu sedikit pun!”
(al-Bukhari)
Huraian;
1. Seorang suami tidak boleh membenci isterinya sampai menceraikannya hanya kerana satu kelakuan isterinya yang tidak menyenangkan. Tetapi hendaklah dipertimbangkan dengan perilaku lain yang menyenangkan dari isterinya. Begitu jua keadaannya bagi seorang isteri terhadap suaminya.
2. Tugas seorang isteri di samping harus taat kepada Allah SWT hendaklah taat kepada suaminya. Sekiranya kedua-dua tugas ia dapat dilaksanakan dengan baik, maka syurgalah baginya. Sabda Rasulullah: "Jika seorang perempuan telah sembahyang lima waktu, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya pasti ia masuk syurga dari berbagai pintu yang dikehendakinya." (Riwayat Ibnu Hibban)
3. Sebagai perempuan atau wanita yang bergelar isteri, kita mempunyai satu kewajipan yang besar dan penting terhadap suami. Sebelum kewajipan lain dilaksanakan, kewajipan terhadap suami harus didahulukan. Manakala bagi lelaki mereka pula mempunyai kewajipan yang amat besar terhadap ibunya. Sejauh kemampuannya, ia perlu memenuhi setiap kewajipan terhadap ibunya, kerana itu kewajipan yang mesti dilaksanakan.
4. Rasulullah bersabda: "Wanita yang taat terhadap suaminya, diminta ampun oleh burung di angkasa, ikan-ikan di dalam air, malaikat di langit, matahari dan bulan, selama wanita itu ada dalam kerelaan suaminya. Dan setiap wanita yang derhaka kepada suaminya, maka kepadanyalah laknat Allah, malaikat dan manusia semuanya. Dan setiap wanita yang bermuka masam pada suaminya, ia adalah dalam kemurkaan Allah Ta'ala sampai ia (wanita/isteri) bersenda gurau dengan suaminya dan ia meminta kerelaanya. Dan setiap wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat melaknatnya hingga ia pulang." (Riwayat Al Bazzar).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan